Putih.
Ahmad Yamin
Cuba lihat cermin yang selalu kau puja,
Yang kau selalu tanya,
Si putih kah aku?
Kerana faktanya, beribu sang hitam,
Namun mengakunya payah.
Benarnya,
Sering sahaja sang hitam itu aku, kau dan dia.
-Yasir Mus, Hitam dan Putih.
Hud melihat telefon bimbitnya buat kali terakhir lokasi ilmuwan terkenal itu. Hanya beberapa kilometer dari kedudukan Hud. Bagus,ada satu soalan yang dia perlukan ujakan kepada ilmuwan itu. Soalan yang akan menentukan hidup mati ilmuwan tersebut. Dan soalan yang akan menentukan dunia akhirat Hud. Hitam, warna rasmi Hud. Seluar hitam, baju hitam, hud hitam, semuanya hitam dan nasibnya baik pada malam ini, bulan tidak kelihatan, memudahkan urusan Hud. Lorong yang dilalui ilmuwan itu juga gelap.
Albab Asbesto. Ilmuwan tersohor di Kosmopolitan. Khabarnya, tidak ada satu soalan pun yang tidak dapat dijawab oleh beliau. Media menguarkan yang beliau merupakan lelaki terpandai di Kosmopolitan. Heh, kita tengok dia dapat jawab soalan ini tak, fikir Hud sendiri. Jujur dia mengakui, dia sudah penat. 5 tahun dia mencari jawapan tetapi tidak seorang pun yang dapat memuaskan hatinya. Harapnya, lelaki ini akan memberikan jawapan yang Hud inginkan. Tidak semena-mena, langkah Albab terhenti di tengah lorong itu.
Peluang. Hud mempercepatkan langkahnya dan mengeluarkan pistol dia. Pada saat itu juga, Albab menyedari yang beliau sedang diekori. Sebelum beliau sempat berbuat apa-apa, Albab dirempuh dan ditolak ke dinding lorong yang sudah lama berkulat kerana tidak dibersihkan oleh Majlis Perbandaran. Muncung pistol dihalakan ke kepala Asbesto.
"Apa yang kau nak? Aku ada banyak duit. Kau ambillah berapa pun yang kau nak. Nah, dompet aku dalam poket sebelah kiri. Nak lebih sikit, ada lagi duit dalam poket jaket aku.Tolong jangan bunuh aku. Isteri dengan anak anak aku--" Rayuan Asbesto berhenti apabila Hud mengisyaratkan beliau untuk senyap dengan meletakkan satu jari di mulutnya.
"Albab Asbesto. Ilmuwan tersohor di Kosmopolitan. Tak ada soalan yang dia tak boleh jawab. Aku cuma ada satu soalan sahaja untuk kau. Betul atau salah jangan risau, aku takkan ambil duit kau." Sengih Hud kepada ilmuwan itu. Pistol Hud tidak dialihkan dari kepala Asbesto. Namun, mata Hud tajam memandang kawasan hati Asbesto.
Semua ini untuk satu soalan? Lelaki ini memang dah tak betul. Ikutkan sahaja permainan dia. Asalkan aku selamat. "Err, apa soalannya?"
" Aku Hades."
Oh tidak.
" Aku dah bunuh ramai orang. Adakah Tuhan akan masih mengampunkan aku?"
Masakan Tuhan akan mengampunkan manusia bangsat seperti ini. Membunuh orang sesuka hati. Disebabkan manusia inilah, rakyat Kosmopolitan ketakutan. Tempat kau hanya di neraka! Nasib baik aku dah tahu jawapan yang dia inginkan.
"Sudah tentu. Tuhan pasti akan mengampunkan kamu." Jawab Asbestos dengan senyuman. Kau bertaubatlah berapa kali pun, neraka tempat tinggal kau!
Senyuman Hud hilang dari mukanya. "Penipu. Jumlah, 99."
"Eh?" Asbestos tercengang. Bam! Satu tembakan dilepaskan dan Asbestos jatuh terjelepok di atas tanah. Hud melangkah pergi dari mayat Albab Asbestos. Kematian keluarga Hud dalam sebuah kes pembunuhan telah memberikan kesan yang besar kepada Hud. Sudah jatuh ditimpa tangga, Hud dituduh melakukan pembunuhan itu. Tekanan demi tekanan, Hud mempercayai perkara itu walhal bukan dia yang membunuh mereka. Sejak dari itu, Hud menjadi gila dan setiap hari dia akan mempersoalkan soalan yang sama: Adakah tuhan akan mengampuni aku?
"Jumlah, 100. Ha ha, ha hah hah, HAAHAHAHAHAH!"
Hud muncul di mulut lorong itu masih terkekeh-kekeh ketawa. Dia meneruskan perjalanan untuk ke tempat persembunyiannya. 100 orang. Dah 100 orang aku tanya. Sama ada cakap aku penghuni neraka atau cuba nak tipu aku. Semua sama. Semua berhati hitam. Heh, dengan dosa sebanyak ini, memang sah aku dah tempah tempat dalam neraka. Hitam, hati Albab Asbestos hitam. Dan telah menjadi tugas Hud untuk 'membersihkan' dan mencuci dunia ini dari manusia-manusia yang hatinya hitam.
Kurniaan atau sumpahan, Hud dapat melihat warna hati seseorang. Tidak, dia tidak dapat membaca hati seseorang. Pengalaman Hud telah menerangkan segalanya. Biar badan berbalut putih, hati tak semestinya putih. Walaupun Kosmopolitan besar, belum pernah lagi Hud berjumpa dengan orang yang hatinya putih. Dan malam ini bakal mengubah segalanya.
Lemas dalam pemikirannya sendiri, tanpa Hud sedari, dia terlanggar seorang penyapu sampah yang berada di laluannya. " Maafkan pakcik, anak tak apa apa?" Pakcik yang berusia lingkungan 50-an itu menghulurkan tangan untuk membantu Hud yang terjatuh.
Mustahil.
Sebaik sahaja Hud melihat tukang cuci tersebut, Hud tergamam sebentar. Hati pakcik itu putih. Kali terakhir dia melihat perkara ini adalah sewaktu kedua ibubapanya masih hidup lagi. Selepas itu, tidak pernah dia terjerumus dengan manusia yang hatinya putih. Kelabu merupakan perkara biasa atas sebab hati manusia itu sifatnya berbolak-balik. Tetapi putih? Satu keajaiban buat Hud.
Mungkin pakcik ini dapat memberikan aku harapan. Harapan yang terakhir. Jika dia sama saja seperti yang lain, aku akan bunuh dia dan kemudian bunuh diri. Habis cerita. Getus hati Hud.
Sebaik sahaja Hud berdiri, dia melihat pakcik itu. Pakaiannya biasa-biasa saja tetapi raut mukanya bersih. Seolah-olah tiada kerisauan. Senyuman beliau menenangkan hati Hud. Untuk kali yang terakhirnya. "Saya akan berterus terang saja pakcik. Saya Hades. Pembunuh yang dah membunuh berpuluh puluh orang. Dan baru sebentar tadi saya telah membunuh mangsa saya yang ke seratus. Sekarang pakcik beritahu saya, adakah tuhan akan mengampuni saya?"
Pakcik itu jelas sekali terpempan dengan pernyataan Hud, namun beliau cepat cepat menenangkan diri. Tolong. Tolong berikan aku harapan. Pinta hati Hud.
"Tidak." Hancur luluh hati Hud. Dia hampir mengeluarkan pistol apabila pakcik itu menyambung," Tidak jika kamu terus berada di bandar yang kotor ini anak muda. Pergilah ke Kampung Din, nescaya ada ramai yang akan menerima kamu. Sedangkan Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Pengampun mengampunkan hambanya dahulu yang melakukan perkara yang sama, masakan Dia tidak mengampunkan kamu."
Hampir terduduk Hud. Hiba hatinya tidak terkata. Air mata yang mengalir diseka. Akhirnya jawapan yang sedari dulu lagi dia mencari. "Ya Tuhan, memang benar hidayah-Mu datang pada masa-masa yang tidak disangkakan."
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah AzZumar Ayat 053. Anak muda, bukan pakcik atau kamu yang menentukan siapa masuk syurga atau neraka. Siapa kita nak menentukan nasib seseorang? Selagi kamu bernafas, itu tandanya Tuhan memberikan peluang lagi kepada kita untuk bertaubat."
Selepas meminta maklumat tambahan untuk ke Kampung Din, Hud meminta izin untuk beredar. Hud berazam. Selepas sahaja dia pulang dari kampung Din, dia akan menyerahkan diri kepada pihak polis. Biar undang-undang manusia pula menghukumnya. "Err, pakcik. Kenapa pakcik masih tinggal dekat Kosmopolitan ini kalau tempat ini dah teruk sangat?" Satu soalan terakhir diajukan kepada Pak Cik.
Pak Cik tersenyum mendengar pertanyaan Hud. "Pak cik akan terus berada di sini, terus menjadi cahaya yang menerangi kegelapan kota ini. Terus membantu anak muda seperti kamu Hud. Sehingga akhir hayat pak cik. Pak Cik percaya, satu hari nanti, cahaya yang makin sirna pasti bersinar kembali."
Mungkin,
Suatu masa nanti,
Si putih bakal bangkit,
Mengambil si hitam kembali,
Dari cengkaman durjana.
Maka antara kau, aku dan dia,
Wujudkah putih?
Atau kita bakal kelabu berzaman.
- Yasir Mus, Hitam dan Putih.
uuuuuuuuuuu
ReplyDelete