Charlie mengembalikan Rumi ke dunia nyata kembali apabila dia mengetuk-ngetuk pagar, yang tanpa Rumi sedari, tangannya perlahan-lahan mula melepaskan. Bunyi pagar tersebut serta-merta menghilangkan suara yang menghasut Rumi untuk terjun sebentar tadi.
Apa yang kau tengok sampai nak tersembul biji mata kau?
Charlie menjenguk ke bawah untuk melihat apa yang telah menangkap perhatian Rumi sehingga dia terpacak berdiri di situ, seperti tugu. Dataran perhimpunan lengang, bendera-bendera lusuh berkibar megah ditiup angin. Kalau ikutkan waktu sekarang, padang sekolah juga kosong kerana tiada kelas Pendidikan Jasmani pada waktu tengah hari. Lagi-lagi baru lepas hujan, tiada pelajar akan bermain di padang.
Tak ada apa-apa pun. Kau tengok apa?
Aduyai, ironi betullah kau Rumi, datang nak selamatkan orang, orangnya dah selamat, kau pula nak terjun. Rumi cepat-cepat memanjat pagar itu dan berpura-pura tersenyum.
"Eh, tak ada apa pun. Menikmati pemandangan sekejap. Kita tenangkan diri, tarik nafas... Lepas... Tarik.. Lepas.. Okay sambung. Apa yang kau cakap tadi?"
Charlie ketawa melihat kelakuan Rumi yang jelas lebih gelabah dari dia dan cuba untuk menenangkan diri sendiri.
Macam mana nak ada kawan Rumi, kau pelik sangatlah. Buat benda tak fikir panjang dulu. Bahayakan nyawa sendiri untuk orang lain. Tadi boleh saja kau lari pergi panggil Cikgu dulu.
Rumi mencebik dan menggaru kepala sendiri. "Orang dah tolong dia, dia beleter pula. Ya, aku memang manusia jenis pendek akal, tak boleh nak ubah dah."
Maaf maaf, ya terima kasih wira jadian, pelajar harapan sekolah. Pelajar begini perlu dijadikan contoh. Terhibur aku tengok kau. Macam kartun.
"Kau boleh tahan main main jugak eh. Ha sambunglah cerita. Kenapa dengan nenek kau?"
Charlie tersenyum apabila teringatkan neneknya di rumah.
Nenek aku tak ada apa pun. Sihat lagi. Mampu uruskan sawah padi dia dekat hujung kampung lagi. Boleh cakap, badan saja yang nampak macam orang tua, tapi tenaga mengalahkan orang muda.
"Jadi kenapa kau risau? Eh, sepatutnya kalau kau risau, kenapa kau nak tinggalkan nenek kau? Apakah kau Charlie." Rumi hairan dengan cara pemikiran Charlie.
Sebab dia sihatlah, aku boleh terfikir nak tinggalkan dia. Aku yang tak sihat sebenarnya. Dah lama sangat aku susahkan hidup nenek aku. Aku tak ada pun, dia boleh hidup lagi.
Rumi mengecilkan mata dan memandang tajam Charlie. Dengan tidak semena-mena, tangannya di angkat setinggi mungkin, lalu kepala Charlie dipukul.
Kau apa hal? Sakit otak?
Tindakan spontan Rumi memeranjatkan Charlie. Kesakitan hasil pukulan Rumi menaikkan lagi kemarahan Charlie. Mahu saja dipukul kembali Rumi.
Rumi mengurut-mengurut tangan kanannya yang telah memukul kepala Charlie. "Ha, samalah kita, dua-dua sakit otak. Adeh, keras jugak kepala kau tapi keras lagi hati kau. Dah, bangun. Aku ada benda nak tunjuk dekat kau." Kata Rumi seraya berdiri dan membetulkan pinggangnya.
Masih bermasam muka dengan tindakan Rumi sebentar tadi, Charlie sengaja melambat-lambatkan pergerakannya. Dahlah pukul orang, nak suruh orang ikut cakap dia pula. Fikir Charlie di dalam hatinya. Tetapi ternyata pemandangan yang terbentang di hadapannya melenyapkan sebentar kekusutan fikiran Charlie.
Berlatar belakangkan Bukit Semarak, sesiapa sahaja yang melihat Pekan Lara dari paras yang tinggi, akan melihat sebuah lukisan alam yang tercipta dengan berkat aturan Yang Maha Esa. Cahaya matahari yang berjaya menerobos gumpalan awan di langit tinggi membentuk tiang-tiang cahaya. Embun hujan yang melekat di dedaun pohon dan sawah padi memantulkan kembali cahaya tersebut memberi gambaran seolah-olah seorang saudagar baru sahaja menaburkan timbunan emasnya ke atas Pekan Lara.
Dari kejauhan warga Pekan Lara yang menyambung kembali pekerjaaan masing masing kelihatan seperti bintik-bintik kecil berwarna-warni. Pemandangan yang terbentang di hadapan Charlie dan Rumi menggamit pemikiran kedua-dua anak muda ini sebentar.
Hampir tidak berkelip mata Charlie dibuatnya.
"Cantik kan? Kau tahu, sekecil kecil embun hujan dan sebesar-besar Bukit Semarak memainkan peranan untuk melengkapkan lukisan yang terbentang di hadapan kau.
Tuhan tak pernah menciptakan sesuatu dengan sia-sia.
Setiap benda, hatta diri kau yang kau rasa tak berguna lansung, ada hikmahnya diciptakan." Rumi mula berbicara walaupun matanya belum melepaskan keindahan di hadapannya.
Sambil mengalihkan beberap urai rambut putihnya yang mula mecucuk mata akibat ditiup angin, Charlie menguntum senyuman kelat mendengar penjelasan Rumi.
Jadi kenapa kau pukul aku tadi?
Charlie mengisyaratkan tangannya kepada Rumi. Dia mula menangkap apa yang ingin disampaikan oleh Rumi yang cukup terkenal di sekolah mereka kerana kefasihan Rumi berbicara. Penyusunan ayatnya teliti, seolah-olah Rumi telah memikirkan apa yang yang mahu dikatakan.
Rumi ketawa kecil melihat pertanyaan Charlie. "Maafkan aku ya. Aku pukul kepala kau sebab mana tahu ada wayar yang terputus ke. Tak nampak logik kau nak tinggalkan nenek kau. Siap sediakan telinga, aku nak sambung beleter.
Charlie, kau dan aku adalah sebahagian daripada sistem yang sangat besar. Macam yang aku cakap tadi, sekecil kecil benda pun, ada fungsinya. Setiap dari kita mempunyai peranan untuk menyempurnakan sistem, yang kita panggil dunia ini."
Kau dan nenek kau pula, mempunyai sistem kecil yang tersendiri. Tanpa kau nenek kau tak dapat berfungsi, dan sebaliknya. Kau ada fikir tak kalau kau dah tak ada, apa yang jadi dekat nenek kau? Nenek kau dah tak lalu nak makan, setiap hari memikirkan kau, sawah padi dia terbiar, setiap hari menyalahkan diri dia dan itu tak termasuk tekanan emo...," Sebelum sempat Rumi menghabiskan ayatnya, Charlie menarik lengan baju Rumi dan mengisyaratkannya berhenti.
Air mata Charlie mula bergenang. Terdetik rasa bersalah di hati Rumi dan buat seketika, dia mula gelabah dan berpura-pura untuk membersihkan cermin matanya.
Aku tak terasa punlah. Sila, sila, sambung leteran kau.
Melihat perlakuan Rumi, Charlie mengisyaratkan kepada Rumi untuk tidak risau dengannya.
"Jujur aku dah cuak dah. Maaf, maaf aku berhenti cakap pasal nenek kau. Beginilah Charlie, bila kau bunuh diri, kau bunuh orang di sekeliling kau sekali. Kau dah mati memang kau tak payah nak fikir pasal orang lain lagi dah. Tapi orang-orang yang kau sayang?" Rumi teringat kembali pesanan ibunya pada suatu ketika dulu.
"You are here for a reason. Don't die before you found it. Ibu aku selalu ingatkan aku untuk terus hidup, terus berusaha selagi aku belum mati. Kau rasa kau tak ada tujuan hidup? Jadi carilah. Jangan mati sebelum kau jumpa tujuan hidup kau. Dan ingat, ada hikmah kau dan aku berada di sini."
KRING! KRING! KRING!
Rumi terlihat kelibat seseorang yang perlu dia temui di perkarangan sekolah. Dari kejauhan, gadis itu kelihatannya seperti menunggu seseorang juga.
"Yasss, aku berjaya selamatkan kau sebelum loceng sekolah bunyi. Eh weh Charlie, kalau kau ada masalah ke, nak luahkan perasaan ke, carilah aku. Kalau tak pun ceritalah dekat nenek kau. Tak elok pendam-pendam. Aku kena pergi dulu, Nus nak jumpa aku." Belum sempat Rumi memulakan langkahnya, bahunya dipaut tangan Charlie.
Ekspresi muka Charlie jelas menunjukkan yang dia telah melepaskan beban yang yang berat dihatinya. Dia masih mampu mengukir senyuman di sebalik sedu-sedan tangisannya.
"Weh maaf, maaf aku tak berniat sampai nak buat kau menangis. Aduh aku tak bawak tisu pula." Rumi lekas-lekas mencari tisu di dalam poketnya.
Tenang Rumi tenang.
Terima kasih Rumi. Kau bukan saja selamatkan nyawa aku, kau dah selamatkan jiwa aku jugak. Terima kasih.
Pencarian tisu Rumi serta-merta terhenti. "Oh.. Sama-sama. Apa guna ada kawan kan? Aku.. boleh cakap, yang aku pernah lalui apa yang kau lalui. So, stay alive mate. Don't die yet. Aku nak tengok kau jadi apa satu hari nanti."
Kalau kau ada masa lapang, datanglah rumah aku. Apa yang kau lakukan hari ini, melayakkan kau untuk makan cempedak goreng nenek aku yang sedap gila. Hujan calang-calang orang aku jemput datang rumah aku.
Charlie mengelap saki baki air mata yang masih berada di mukanya.
Tapi kau memang betul-betul baguslah. Kau gunakan kelebihan kau sebaiknya.
"Maksud kau?"
Yalah dalam pekan kita, bukan, dalam dunia kita sekarang, berapa orang saja yang ada Suara lepas Epidemik Bisunyi 30 tahun lepas. Dan kau beruntung sebab kau masih ada Suara.