Apakah perkara terakhir yang semua manusia akan lakukan dalam kehidupan mereka?
Mati. Jawapan hakiki yang tidak menyenangkan hati bukan?
Memang sedari kecil lagi, kematian mempunyai daya tarikan tersendiri terhadap diri Rumi yang tidak dapat dia jelaskan dengan mudah kepada orang di sekelilingnya. Kematian menamatkan kehidupan seseorang secara hakiki, tiada butang kembali atau peluang kedua. Apabila sudah tiba ajal, tiada yang akan menghalang.
“Charlie.”
Guruh mula berdentum dan langit semakin gelap. Petir bakal mula sambar- menyambar beberapa minit lagi. Rumi mula mengorak langkah ke hadapan, mula menghampiri Charlie yang berdiri di tebing bangunan sekolah. Jarak di antara Rumi dan Charlie yang hanya 10 meter, Rumi kurangkan sedikit demi sedikit.
Jangan dekat.
Charlie mengisyaratkan dengan tangannya. Rambutnya yang seputih salju itu ditiup angin yang agak kuat, nyata sekali kerana awan sudah berarak mendung dan langit bakal memuntahkan isinya. Jika Rumi tidak menyelamatkan Charlie secepat mungkin, dua pelajar Sekolah Menengah Pekan Lara tidak akan hadir buat selama-lamanya lagi dan kelas 401 bakal kehilangan dua orang ahli. Seorang meninggal terjun bangunan, lagi seorang meninggal dipanah petir.
Keadaan tipikal bagi saat-saat genting begini bukan? Sungguh, lagaknya seperti mereka watak-watak di dalam sebuah cerita novel. Tetapi bukankah sememangnya kehidupan kita ini hanyalah sebuah cerita di mana kita sendiri adalah watak-wataknya? Sejauh mana pun kita berlari, hingga ke hujung dunia pun, jika ditakdirkan aku dan kau berada di dalam cerita yang sama, maka bersua kembalilah kita. Tidak di sini, pasti bertemu di sana.
Aku dah cakap jangan dekat Rumi.
Kali ini isyarat tangannya lebih tegas dari yang sebelumnya kerana Rumi sudah semakin hampir dengan pagar penghadang yang memisahkan dia dan Charlie. Angin semakin kencang dan hujan rintik-rintik mula turun. Rumi mula menghadapi kesukaran untuk melihat dek air hujan yang membasahi cermin matanya. Lebih memburukkan keadaan apabila Charlie mengacah-acah untuk terjun dengan menjuntaikan sebelah kakinya dari bangunan sekolah setinggi 4 tingkat itu.
Aduh, sudah. Apa aku nak buat? Getus hati Rumi sendiri.
Ironi sekali apabila maut yang paling manusia takutkan ini merupakan makhluk yang tidak prejudis terhadap harta benda, anak pinak dan maruah kita. Mendiskriminasi? Tak pernah pula ditarik nyawa orang berkulit hitam, putih atau kuning langsat dahulu sebelum yang lainnya. Lain pula ceritanya untuk kita, makhluk bernama manusia. Apabila dia datang untuk mengambil roh ini, pasti janjinya tidak dimungkiri. Tidak lambat sesaat mahu pun cepat sesaat.
Tindakan Charlie membantutkan langkah Rumi. Langkah Rumi terhenti. Dia mengambil nafas panjang dan tangan Rumi mencapai cermin matanya. Cermin mata Rumi dibuka dan dia menggunakan bahagian baju sekolahnya yang kering untuk membersihkannya. Kaki Charlie yang terjuntai dari bangunan sekolah mereka sudah bertapak semula di tebing bangunan sebaik sahaja Rumi memakai kembali cermin matanya. Tangan Charlie yang terketar-ketar masih berpaut kuat pada pagar penghadang yang hanya beberapa tapak jauhnya dari Rumi. Otak Rumi ligat berfikir. Mata Rumi lansung tidak melepaskan pandangannya dari Charlie. Lalu dia membuka bicara.
“Kau nak terjun kan? Baguslah, sebab aku naik ke atas pun atas tujuan yang sama. Orang cakap lagi ramai lagi seronok, bukan begitu?” dengan tidak teragak- agak, Rumi meneruskan langkahnya, memanjat pagar penghadang dan berdiri di tebing bangunan bersama Charlie. Tindakan Rumi yang secara tiba- tiba itu membuatkan Charlie terpempan seketika.
Apa benda mengarut kau nak buat Rumi? Bahayalah! Kalau jatuh dari sini boleh mati!
Air hujan yang mengalir di muka Charlie menampakkan seolah-olah dia sedang menangisi perbuatan Rumi, ditambah lagi dengan ekspresi terkejut mukanya.
“Eh? Bukan kita memang datang sini nak mati? Kenapa kau nak takut pula? Tak jadi nak terjun?” dengan tenangnya Rumi menepis kerisauan Charlie.
Andai sahaja Charlie dapat melihat jantung Rumi berdegup kencang, yang seperti mahu melompat keluar dan lari sejauh mungkin dari Rumi. Ketakutan dan kegayatan berdiri di tebing bangunan setinggi 4 tingkat itu di buang sejauh mungkin. Hujan mula reda seketika, mungkin sebagai tanda sokongan kepada Rumi. Pagar penghadang dipegang Rumi sekuat mungkin seolah-olah pagar itu sahaja yang akan memastikannya terus hidup.
“Aku pun dah penat dengan hidup, Charlie. Jadi apa salahnya aku tamatkan terus riwayat aku? Heh, kau nak tahu tak, sebenarnya aku tertekan, selalu rasa kena buat yang terbaik dalam semua benda tapi dalam masa yang sama aku rasa macam tak ada orang hargai aku lansung.”
Kau? Tertekan? Kau dah cukup bahagia kan? Cikgu, budak kelas kita, senang cakap semua orang suka kau. Tak cukup lagi?
“Tapi kau ada tengok aku rapat dengan sesiapa? Aku tak ada kawan rapat Charlie. Sunyi. Semua orang ingat aku dah cukup kuat, tak perlukan sesiapa tapi sebenarnya aku rapuh, Charlie."
"Aku pun manusia, perlukan kasih sayang, perlukan kawan.
Aku rasa kita dah lari dari tujuan asal kita berdiri dekat sini. Dah jadi sesi kaunseling pulak. Aku pergi dulu.” Belum sempat Rumi melepaskan pegangannya, Charlie terlebih dahulu menggunakan tangan kanannya untuk menahan Rumi dari terjatuh.
Walaupun sebenarnya, Rumi lansung tidak berniat untuk terjun. Rumi masih mahu hidup. Dia punya cita-cita dan impian. Apa yang dia lakukan merupakan pertaruhan yang melibatkan nyawanya sendiri. Rumi perlu meyakinkan Charlie untuk membatalkan niatnya, setidaknya, Rumi perlu melengahkan masa sehingga waktu sekolah berakhir dalam 10 minit lagi. Dalam keadaan yang amat genting ini, 10 minit dirasakan seperti tidak akan berakhir.
Sekejap! Kita belum habis bercakap lagi. Kau jangan gatal nak terjun dulu.
Susah untuk Charlie menyampaikan perkataan dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Tangan kanannya masih menahan Rumi walhal Rumi telah memegang pagar itu dengan erat kembali.
Awan mendung beralih jua.
"Ah, jadi kau pun nak buat ucapan terakhir? Okay tak ada masalah. Aku tak ada apa-apa rancangan pun lepas terjun bangunan nanti. Jadi kau pula, kenapa kau nak terjun Charlie? Setahu aku, hidup kau walaupun tak se'bahagia' aku, tak adalah teruk sangat. Err, tangan boleh alih rasanya. Janggal pulak." Perlahan-lahan tangan Charlie melepaskan Rumi.
Fuhh.. Nasib baik dia tahan kalau tak.. Habis aku! Berderai kepala tak sempat nak mengucap. Okay lagi 5 minit aku kena tahan. Budak sekolah pun dah mula keluar dari kelas. Loceng sekolah bunyilah cepat sikit!
Charlie melontarkan pandangannya ke hadapan. Riak wajah Charlie menandakan sesuatu yang amat berat bermain di mindanya. Rumi membiarkan Charlie hanyut dalam pemikirannya sebentar sebelum menyoal Charlie sekali lagi.
"Jadi, kenapa Charlie? Apa yang jadi, sampai kau sanggup nak bunuh diri?"
Apabila Charlie mula bercerita, isyarat tangannya lambat dan perlahan, menunjukkan betapa berat baginya untuk menceritakan masalahnya kepada Rumi.
Aku..tak tahulah Rumi. Aku rasa macam tak ada tujuan nak hidup lagi. Kau tengoklah, hidup aku biasa sangat. Aku rasa macam tak berguna. Macam hidup aku tak ada makna. Hidup untuk mati. Aku tak ada sebab untuk hidup jadi lebih baik aku mati, kan? Tak susahkan sesiapa dah. Tak susahkan..nenek aku lagi.
Charlie menghelakan nafas, memanjat pagar penghadang dan duduk bersandar di situ. Charlie mengisyaratkan Rumi untuk duduk di sebelahnya.
Sudahlah Rumi, sebelum kau datang aku dah berdiri dekat situ setengah jam dah. Memang dari awal aku teragak-agak. Duduklah sini, aku tahu kau pun bukan berani sangat pun.
Rumi?
Rumi kelihatan seperti terpukau dengan sesuatu di perkarangan sekolah. Muncul sesuatu yang baru di mindanya. Satu keinginan, kemahuan yang belum pernah dia rasai. Satu suara baru muncul di benak hati Rumi. Hasutan suara itu sedikit demi sedikit mempengaruhi minda Rumi.
Mempengaruhi Rumi untuk terjun.
Alah tak tinggi mana pun...
Terjunlah Rumi..
Mesti ayah kau gembira sangat kalau kau terjun..
Terjun Rumi terjun.. Semua yang kau cakap dekat Charlie tadi benda betul kan?
Kau sunyi bukan?
Jadi mari kita tamatkan kesunyian kau.
TERJUN RUMI!
0 comments:
Post a Comment